PENDAHULUAN

Jabatan Mufti Negeri Kelantan telah mendapat peruntukan daripada Pejabat Menteri Besar Kelantan bagi mengadakan Kajian Cerapan Gerhana Matahari Annular (Cincin) di Kota Batam, Kepulauan Riau, Indonesia selama 6 hari bermula 22 Disember hingga 27 Disember 2019. Jabatan Mufti Negeri Kelantan telah menghantar 4 orang wakil iaitu dengan diketuai Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Sahibus Samahah Dato' Haji Mohamad Shukri bin Mohamad,  Pegawai Falak, Ustaz Wan Muhammad Ezani bin Wan Abdullah, Pembantu Hal Ehwal Islam, Ustaz Hasbullah bin Ibrahim dan Ustaz Muhammad Aqeel Din bin Razman. Ini adalah kali ketiga jabatan ini menghantar perwakilan bagi menyertai rombongan ke luar negara khususnya dalam aktiviti cerapan gerhana matahari selepas di Queensland, Australia dan juga di Palembang,Indonesia. Pelbagai aktiviti dan kajian dirangka bersama-sama peserta rombongan dari jabatan-jabatan mufti dan agensi lain seperti Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Pahang, Jabatan Mufti Pulau Pinang, Jabatan Mufti Selangor dan Universiti Malaya bagi memaksimumkan pengumpulan data-data yang berkaitan dengan peristiwa gerhana matahari cincin yang terakhir pada tahun 2019.

 

RUMUSAN KAJIAN 

  1. Kajian Data Gerhana Matahari Annular (cincin) di Pulau Batam,Indonesia telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Pengalaman dan hasil hasil kajian telah dikongsikan dengan masyarakat umum melalui FB Live yang telah mnecapai jumlah penonton seramai 83,000 ribu orang penonton khususnya kepada peminat-peminat ilmu falak dan amatur Astronomi di seluruh negara.

 

  1. Fenomena ini memberi peluang kepada penggiat ilmu Falak dan Astronomi untuk membuat kajian lanjut berhubung ketepatan data–data pergerakan matahari dan bulan khusunya bagi pembentukan taqwim solat dan kenampakan hilal untuk pembentukan taqwim hijri.

 

  1. Hasil kajian mendapati kiraan falak yang dilakukan untuk fasa-fasa gerhana adalah tepat dengan hasil cerapan. Ketepatan ini boleh dilihat melalui trek laluan atau kawasan-kawasan yang mengalami fenomena gerhana matahari Anular ini, masa dan tempoh waktu gerhana serta saiz gerhana yang berlaku.

 

  1. Kurangnya kepakaran dalam kalangan ahli /amatur falak Malaysia dalam pembangunan dan kajian saintifik (R&D) dalam bidang Astronomi dan falak syarie.

 

  1. Hasil kajian gerhana ini akan dikongsikan melalui sesi taklimat falak dan akan dipaparkan kedalam laman web Jabatan Mufti Negeri Kelantan juga akan diterbitkan melalui penerbitan buku edisi khas Risalah Falak Jabatan Mufti untuk diedarkan kepada peminat-peminat ilmu falak dan juga masyarakat.

 

  1. Cerapan menggunakan peralatan Astronomi memerlukan kepada pasukan (Team Work) yang mantap dalam pelbagai aspek khususnya kemahiran dan penggunaan peralatan terkini.

 

  1. Program ini dapat merealisasikan dua aspek hukum fiqh dan sains disamping membawa pengalaman dan manfaat keilmuan khususnya kepada kakitangan Jabatan Mufti dan masyarakat Kelantan amnya.

 

KESIMPULAN

Pengalaman Cerapan Gerhana Matahari Annular di Kota Batam, Kepulauan Riau, Indonesia ini dapat memberikan manfaat dan makna yang begitu bernilai (Value Added). Hal Ini tidak mungkin dapat dilupakan, malah dapat mengukir sejarah kepada peserta rombongan. Antaranya ialah rakaman foto gerhana matahari annular (cincin) yang dapat dijadikan sebagai catatan saintifik. Informasi ini juga merupakan satu sumbangan kepada jabatan, khususnya sebagai sumber rujukan bahan dokumentasi kepada Unit Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri Kelantan. Lawatan kerja atau kajian pencerapan gerhana matahari cincin ini juga memperlihatkan keagungan dan kekuasaaan Allah ta'ala yang menjadikan alam semesta dan segala objek samawi sebagai satu ciptaan yang tiada bandingannya serta memberi kesedaran kepada kita betapa kerdil dan lemahnya kita sebagai hamba Allah swt. Kajian pencerapan gerhana matahari cincin ini juga merupakan interaksi dan hubungan dengan negara luar dan dicadang agar diteruskan pada masa-masa akan datang sebagai satu kajian yang berterusan dan sebagai satu langkah memperkembangkan lagi ilmu falak dalam kalangan masyarakat.

SEJARAH RUBU' MUJAYYAB 

Antara tokoh falak dunia Islam yang terawal menggunakan rubu' mujayyab dalam melakukan hitungan waktu solat ialah Muhammad bin Musa Al-Khawarizimi atau  Al-Khawarizmi rahimahullah (164H-232H) . Beliau hidup pada zaman kerajaan Abbasiah. Selain itu, Abu Raihan Al-Biruni rahimahullah (973H-1048H) juga merupakan seorang tokoh yang memasyurkan penggunaan rubu' mujayyab. 

Penggunaan rubu' mujayyab di Malaysia adalah pada akhir kurun ke-19 di Tanah Melayu yang mana rubu' mujayyab tersebut dimiliki oleh tokoh falak yang sangat popular iaitu Syeikh Abdullah Fahim pada tahun 1940.

 

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN RUBU' MUJAYYAB ? 

Rubu' mujayyab dari segi bahasa ialah satu perempat. Jayb pula ditakrifkan sebagai poket baju. Manakala dalam bahasa Inggeris, rubu' mujayyab dimaksudkan dengan quadrant. Rubu' Mujayyab juga ditakrifkan sebagai sukuan sinus. 

Dari segi istilah, rubu' mujayyab didefinisikan sebagai sejenis peralatan tradisional falak yang dicipta khas untuk mengukur sudut dan waktu.  

Pada alat rubu' mujayyab ini, terdapat tujuh belas garisan yang dapat diketahui waktu-waktu. Oleh itu, rubu' mujayyab secara teori dan amalinya dicipta untuk menentukan waktu-waktu dalam Islam iaitu waktu solat, arah kiblat dan awal bulan Islam. 

Rubu' mujayyab juga merupakan satu alatan yang berbentuk sukuan yang digunakan untuk mengira fungsi trigonometri. 

 

FUNGSI RUBU' MUJAYYAB

  • Mengetahui waktu solat 
  • Menentukan waktu solat
  • Mengetahui buruj-buruj
  • Mengukur arah kiblat
  • Mengetahui ketinggian serta kedalaman sesuatu objek
  • Menghitung trigonometri
  • Mengukur sudut

 

RUJUKAN : 

 

  • Nurul Huda Ahmad Zaki; Mohd Zambri Zainuddin; Abdul Karim Ali; Raihana Abdul Wahab; Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi; Muhammaddin Abdul Niri; Khadijah Ismail. The Determination of Subuh Prayer Time by using Rubu' Mujayyab in Malaysia; 2014.

PERKEMBANGAN KAEDAH RUKYAH DAN HISAB DI MALAYSIA  

 

Di dalam Persidangan Islam SeMalaysia di Kuala Lumpur pada 4-7 Mac 1969, kaedah Rukyah dan Hisab menjadi perhatian banyak negeri untuk menyelaraskan awal Ramadhan dan Syawal : 

a) Enam buah negeri berpendapat iaitu :

Awal anak bulan Ramadhan dan Syawal hendaklah ditentukan dengan cara rukyah, tetapi sekiranya anak bulan tidak juga nampak   sedangkan mengikut kiraan ahli falak anak bulan tetap ada dan  boleh nampak kalau tidak ada apa-apa melindung, maka kiraan ahli  falak digunakan.

b) Tiga buah negeri berpendapat iaitu : Awal anak bulan Ramadhan dan Syawal bolehlah ditentukan dengan cara hisab falak sahaja tanpa rukyah.

c) Tiga buah negeri lagi berpendapat iaitu :

Awal anak bulan Ramadhan dan Syawal dengan  cara rukyah  sahaja   dan jika anak bulan tidak kelihatan hendaklah dicukupkan 30 hari.

Walau bagaimanapun, Persidangan Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 21-27 April 1969 memberikan keutamaan kepada rukyah dalam menentukan awal bulan seperti berikut : 

a)   Permulaan bulan Ramadhan dan Syawal adalah berdasarkan semata-mata dengan penglihatan anak bulan yang sebenarnya.

b)  Jika penglihatan anak bulan tidak mungkin bagi sesuatu negara, laporan-laporan tentang penglihatan anak bulan yang sebenarnya di dalam sesuatu negara yang mempunyai sebahagian atau malam yang sama dengan negara itu haruslah dikira sebagai asas penentuannya.

c)  Di dalam keadaan yang kedua-dua cara tersebut di atas tidak mungkin dilakukan dan kiraan astronomi (falak) memestikan bahawa anak bulan boleh kelihatan, barulah kiraan astronomi itu dipakai.

d)  Kerajaan-kerajaan dari negara-negara Islam haruslah menubuhkan satu badan yang dianggotai oleh pakar-pakar untuk menentukan awal bulan Ramadhan dan Syawal mengikut prinsip-prinsip yang diutarakan di atas.

e)  Menjelang tahun 1390 H, isu penentuan awal Ramadhan dan Syawal menjadi semakin hangat. Orang ramai berbahas mengenai cadangan meminda rukyah kepada Rukyah dan Hisab. Akhirnya, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam muzakarahnya pada 1-2 Oktober 1970 bersetuju dengan ketetapan seperti berikut

  “Anak bulan Ramadhan dan Syawal kiranya tidak kelihatan pada halnya mengikut kiraan ahli-ahli falak anak bulan itu tetap ada dan boleh nampak, maka kiraan ahli-ahli falak bolehlah digunakan.

f)  Di atas syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya kali ke-88 pada 20 Oktober 1970 memutuskan penggunaan kaedah tersebut. Kriteria yang diterimapakai adalah umur bulan ketika matahari terbenam mestilah melebihi 8 jam. Kaedah tersebut diterimapakai sehinggalah Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya kali ke-109 pada 6 Oktober 1977 memutuskan semula penggunaan kaedah rukyah.

 

Setahun berikutnya, Muktamar Bagi Menentukan Permulaan Bulan-Bulan Islam berlangsung di Istanbul. Malaysia turut menghantar wakil ke muktamar tersebut. Muktamar adalah mengenai penyelarasan awal bulan di kalangan negara-negara Islam :

a)  Bahawa asal hukum ialah rukyah, samada dengan mata kepala atau dengan menggunakan alat-alat moden.

b)  Bahawa berpegang kepada ketetapan hisab ahli-ahli falak mengenai kedatangan bulan baru pada syarak wajiblah mereka menentukan adanya anak bulan di atas ufuk selepas matahari jatuh sehingga dapat dilihat dengan mata kepala, ketika tidak ada halangan. Ini adalah dinamakan rukyah di sisi hukum (rukyah hukmiah).

c) Bahawa bagi menentu kemungkinan penglihatan anak bulan itu mesti memenuhi dua syarat utama iaitu:-

Kedudukan matahari dan bulan waktu matahari jatuh tidak kurang daripada jarak 8 darjah, seperti mana diketahui bahawa permulaan penglihatan (rukyah) ialah antara 7 dan 8 darjah, tetapi persetujuan diambil atas 8 darjah secara ihtiat.

Tinggi anak bulan ketika jatuh matahari tidak kurang dari 5 darjah.

d)  Atas asas inilah anak bulan itu dapat dilihat dengan mata kepala dalam keadaan suasana biasa.

e)  Tidak disyaratkan kemungkinan rukyah anak bulan itu di satu tempat yang khusus, tetapi menjadi sah hukum masuk bulan baru dengan ternampak anak bulan di mana-mana tempat di atas permukaan bumi ini. Pengumuman kelihatan anak bulan ini hendaklah dibuat, seperti mana mengikut ketetapan Takwim Hijrah (Islam) yang diselaraskan seperti mana yang tersebut dalam ceraian (kelima) di bawah ini, keseluruh alam menerusi Pusat Satelit di Mekah setelah siap pembinaannya kelak, sebagai langkah untuk menyatupadukan orang-orang Islam.

f)  Beberapa tahun berikutnya, kajian menunjukkan hilal Ramadhan dan Syawal di Malaysia tidak pernah kelihatan pada petang rukyah melainkan hilal Syawal 1401 H / 1981 sahaja. Kekhuatiran mengenai kemungkinan umat Islam berpuasa bukan pada 1 Ramadhan atau berhari raya bukan pada 1 Syawal akibat hilal tidak kelihatan pada petang rukyah sedangkan ia ada juga umat Islam secara keseluruhannya akan berpuasa 30 hari seperti yang telah berlaku pada beberapa tahun kebelakangan mulai timbul. Lantaran itulah, Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya kali ke-125 pada 14 Oktober 1982 memutuskan supaya awal Ramadhan dan Syawal kembali menggunapakai kaedah Rukyah dan Hisab.

 

Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa Dan Hari Raya Puasa yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja telah mengadakan mesyuarat pada 5 dan 25 April 1983 seterusnya mencadangkan dua ketetapan iaitu : 

  • Penentuan hari rukyah hilal pada akhir bulan Syaaban dan akhir bulan Ramadhan hendaklah dibuat dengan hisab falak.
  • Menerima pada dasarnya tiga ketetapan asas Persidangan Hilal Negara-negara Islam Sedunia di Istanbul, Turki pada 27-30hb November 1978 mengenai cara-cara rukyah hilal bahawa anak bulan dikira sabit ada dan boleh dirukyah apabila:

i.  Hilal berada setinggi tidak kurang daripada 5½ (lima setengah) darjah dari ufuk maghrib pada ketika ghurub matahari hari rukyah.

ii. Hilal berada jauh daripada jisim matahari pada ketika ghurub matahari tidak kurang daripada 7½ (tujuh setengah) darjah, dan

iii. Masa berlaku ijtimak, iaitu  masa   lahir   hilal hendaklah berlaku tidak kurang daripada 8 (lapan) jam sebelum waktu ghurub matahari

 

Kajian Semula Penentuan Awal Ramadhan Dan Syawal dengan itu mencadangkan kriteria kebolehnampakan hilal yang lebih sesuai untuk digunapakai di Malaysia iaitu :

  • Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat berikut :

a. Ketika matahari terbenam

i. Ketinggian bulan tidak kurang daripada 2˚, dan

ii. Jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3˚

  Atau

b. Ketika bulan terbenam

i. Umur bulan tidak kurang daripada 8 jam.

Kaedah Penentuan Awal Bulan Islam Berdasarkan Al-Quran dan Hadis

 

Dalil al-quran

a)   Surah al-Baqarah ayat 189 : 

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ  (189)

Maksudnya :

"Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit, katakanlah bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan bagi ibadah haji..." 

b)  Surah Yunus ayat 5 : 

  هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (5)

Maksudnya :

"Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan manzilah-manzilah (orbit) bagi perjalanan bulan itu supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu).  Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hakDia menjelaskan tanda-tanda kebesaranNya kepada orang-orang yang mengetahui.

c) Surah al-Israa' ayat 12 : 

وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ آيَتَيْنِ ۖ فَمَحَوْنَا آيَةَ اللَّيْلِ وَجَعَلْنَا آيَةَ النَّهَارِ مُبْصِرَةً لِّتَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ وَلِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ فَصَّلْنَاهُ تَفْصِيلًا (12)

Maksudnya :

Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda, lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan. Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan jelas.

d) Surah al-Taubah ayat 36 : 

   (36)  إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ

Maksudnya :

Bahawasanya bilangan bulan itu di sisi Allah dua belas bulan di dalam kitab Allah dari hari Dia menjadikan segala langit dan bumi...”

e) Surah al-Baqarah ayat 185 :            

(185) فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya :

“…Barang siapa di antara kamu hadir melihat hilal (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa…”

 

Dalil hadis : 

Hadith Abu Hurairah ra : 

 

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : إِذَا رَأَيْتُمُ الْهِلاَلَ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَصُومُوا ثَلاَثِينَ يَوْمًا

  (حديث صيح)

Maksudnya :

Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila kamu melihat hilal maka berpuasalah dan apabila kamu melihat hilal maka berbukalah (berhari raya). Bila hilal tertutup awan atasmu, maka berpuasalah tiga puluh hari."

 

b) Hadith Ibn Umar ra. : 

 

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضى الله عنهما عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ ذَكَرَ رَمَضَانَ فَقَالَ : لاَ تَصُومُوا حَتَّى تَرَوُا الْهِلاَلَ وَلاَ تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ أُغْمِىَ عَلَيْكُمْ فَاقْدِرُوا لَهُ

(حديث صحيح, متفق عليه )

Maksudnya :

Dari Ibn Umar r.a. dari Nabi s.a.w. bahawasanya Baginda menyebut tentang Ramadhan kemudian bersabda, “Jangan kamu berpuasa melainkan dengan melihat hilal dan jangan kamu berbuka (berhari raya) melainkan dengan melihat hilal. Bila hilal itu terlindung awan atas kamu, maka tentukanlah ia."

          

Rujukan : 

1)   Al-Quran

2)   Hadis 

 

 

APAKAH ITU SISTEM SURIA  ? 

Sistem suria merupakan salah satu sistem yang terdapat di dalam galaksi bima sakti yang terdiri daripada berbilion bintang, lapan planet, meteor, asteroid dan komet yang mengelilingi matahari mengikut orbit yang berbeza pada satah yang rata. Matahari merupakan salah satu keluarga sistem suria yang paling besar dari segi saiz dan jisimnya. Oleh itu, matahari mampu menarik jasad-jasad yang beredar mengelilinginya kerana kuasa graviti yang besar. Keseluruhan jumlah jisim yang  ada dalam keluarga sistem suria ialah 99.9% hasil daripada sumbangan matahari. Kesemua planet yang mengorbit matahari menerima sumber haba dan cahaya yang boleh hidup disebabkan suhu yang terlalu sejuk. 

 

BAGAIMANA SISTEM SURIA TERBENTUK ? 

Lebih kurang 4.5 bilion tahun yang lalu, sistem suria telah terbentuk. Ia terbentuk daripada gas-gas terutamanya hidrogen dan debu-debu yang mengandungi partikel-partikel daripada unsur-unsur yang lebih berat seperti karbon, silikat, besi dan lain-lain daripada hasil letusan Supernova atau dari nebula planet. Debu-debu dan membentuk Sistem Suria dipanggil "Nebulosa Suria". Debu-debu dan gas-gas tersangat banyak jumlahnya bertebaran di angkasa luas. 

Pembentukan Sistem Suria bermula apabila gas-gas dan debu-debu ini mula berkumpul sesamanya. Tiada sesiapa pun  yang mengetahui penyebabnya dengan tepat, tetapi ia dipercayai akibat daripada laluan sebuah bintang berhampiran  dengan nebula. Apabila nebula sudah berkumpul, ia akan menarik gas-gas dan debu-debu yang lain untuk ke arah pusatnya akibat  daripada daya tarikan graviti antara mereka. Pertambahan pemgumpulan debu-debu dan gas-gas akan menjadi bebola gas yang makin besar, mampat, padat dan panas. Akibatnya bermulalah putaran, maka bertambahlah lagi tarikan debu-debu dan gas-gas yang tertarik ke arahnya.  Sebaik sahaja putaran makin kuat, maka daya centrifugal pada satah khatulistiwa bebola gas tadi akan bertambah dan ia akan mengurangkan tarikan debu-debu dan gas-gas jatuh atau runtuh ke arah pusatnya.  Akibatnya debu-debu dan gas-gas yang berada disekitarnya akan menjadi leper dan rata pada satah khatulistiwa bebola gas tadi.

Pada pusat pula tekanan yang kuat dan dengan ketumpatan yang tinggi menyebab pelanggaran gas-gas dan molekul di dalamnya akan bertambah dan ini akan menghasilkan kepanasan yang luar biasa. Pada ketika ini ia dikenali Protosun atau Proto Matahari. Dengan bertambahnya jisim pada Proto Matahari tadi maka proses pelakuran mula terjadi pada pusatnya dengan mengeluarkan tenaga cahaya, haba dan pelbagai julat tenaga tinggi yang cukup besar, maka lahirlah Matahari. Pada ketika ini Matahari sedang menjalani "Jujukan Utama".

Manakala debu-debu dan gas-gas pada bahagian piring luar pada satah khatulistiwa yang ikut berpusing akan bergabung  membentuk bebola-bebola yang besar menjadi planet-planet pelbagai saiz. Planet-planet terbentuk dengan proses yang dikenali sebagai "akresi". Oleh itu planet-planet yang berada berdekatan dengan Matahari seperti Utarid, Zuhrah, Bumi dan Marikh mengandungi bahan-bahan yang tahan kepanasan yang tinggi seperti silikat dan besi.

Manakala planet-planet jauh dari Marikh seperti Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun mengandungi bahan-bahan yang mudah meruwap seperti gas metana, hidrogen helium. Kesemua planet ini jauh lebih besar dari planet-planet yang berada berdekatan dengan Matahari.

Satu lagi peristiwa berlaku apabila tindakan pelakuaran nuklear pada pusat matahari ialah terjadinya angin suria. Adanya angin  suria ini akan menolak sebahagian debu-debu dan gas-gas atau serpihan-serpihan yang gagal membentuk planet-planet keluar jauh ke angkasa. Sebahagian membentuk jalur asteroid manakala yang lain membentuk objek-objek jalur Kuiper dan Lingkaran Oort. Ada juga objek-objek serpihan ini ditangkap oleh planet-planet untuk menjadi satelitnya. Kesemua mereka tetap beredar mengelilingi Matahari dan sentiasa saling tarik menarik dengan Matahari. Beginilah secara ringkas bagaimana Sistem Suria terbentuk.

 

 

 

RUJUKAN :

 

  • Mahamarowi Omar;  Astronomi Dan Astrofotografi. Mashi Publication Sdn.Bhd Selangor; 2017

 

 

 

 

 

 

 Matahari merupakan salah satu daripada keluarga Sistem Suria yang paling dominan

Publish modules to the "offcanvs" position.