13 Syaaban 1443H bersamaan 16 Mac 2022M Rabu, Jabatan Mufti Negeri Kelantan telah menerima kunjungan hormat daripada Tuan Yang Terutama Duta Jerman iaitu H.E. Dr. Peter Blomeyer bertempat di Jabatan Mufti Negeri Kelantan. Kunjungan hormat tersebut telah diraikan sendiri oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad dan Sahibul Fadhilah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Haji Nik Abdul Kadir bin Haji Nik Mohamad berserta Pegawai-Pegawai Jabatan Mufti Negeri Kelantan yang lain.
Tujuan kunjungan hormat daripada H.E. Dr. Peter Blomeyer adalah untuk beliau mengenali secara dekat Malaysia khususnya Negeri Kelantan dan menimba ilmu berkaitan sejarah, kebudayaan masyarakat, ekonomi negara serta masalah-masalah persekitaran. Oleh kerana itu, H.E. Dr. Peter Blomeyer amat berminat untuk mengetahui berkaitan Agama Islam di Negeri Kelantan seperti sejarah perkembangan Islam dan perkembangan Islam semasa di Negeri Kelantan, kedudukan minoriti masyarakat bukan Islam serta pendekatan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam membangun ajaran Islam dan Perundangan Islam.
Selain daripada sejarah dan perkembangan Islam di Negeri Kelantan seperti yang dinyatakan, pandangan dan pendekatan yang diambil Kerajaan Negeri berhubung patung-patung agama lain seperti Agama Buddha yang ada di negeri Kelantan serta perkembangan kebudayaan seperti persembahan tradisional Dikir Barat dan Mak Yong yang menjadi lambang warisan Negeri Kelantan turut menarik perhatian beliau.
Semoga kunjungan hormat dan perbincangan ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.