Sejarah Penubuhan

Image

Institusi Mufti adalah institusi agama yang terawal wujud di negeri Kelantan mendahului Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) (1915) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) (1980). Di negeri Kelantan, jawatan Mufti mendahului penubuhan institusi fatwa atau Pejabat Mufti dan disebut-sebut jawatan Mufti yang pertama ialah pada penghujung pemerintahan Sultan Muhammad II yang mangkat pada 31 Ogos 1886.

Penubuhan Pejabat Mufti oleh Kerajaan Negeri Kelantan secara rasminya pada tahun 1893 semasa pemerintahan Sultan Mansur yang mangkat pada tahun 1900. Pada awalnya, Pejabat Mufti Negeri Kelantan ditempatkan di Jalan Sultan, Kota Bharu di bangunan lama MAIK. Pada tahun 1959, pejabat ini telah berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu bersebelahan Pejabat Pos Besar Kota Bharu (sekarang Pusat Perubatan An-Nisa'). Pada tahun 1983, pejabat ini kemudiannya telah berpindah ke Kompleks Islam Darulnaim, Kota Bharu dengan konsep dan berkongsi bangunan (sharing building) bersama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan. Perpindahan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menempatkan semua agensi agama yang berkaitan hal ehwal Islam dalam satu kompleks bagi memberi kemudahan kepada masyarakat berterusan. 

Pada 29 Ogos 2005, Pejabat Mufti telah dikenali dengan nama Jabatan Mufti Negeri Kelantan atau ringkasannya JMNK. Sehingga tahun 2020, Jabatan ini belum memiliki bangunan sendiri berbanding agensi agama yang lain yang telah memiliki bangunannya masing-masing seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan (JKSNK).  

Publish modules to the "offcanvs" position.