ms Malay en English
A- A A+

FATWA TAHUN 2018

 

HUKUM DUIT DIGITAL (BITCOIN) MENURUT PERSPEKTIF ISLAM.

(Kertas mesyuarat Jamaah Ulama’ Bil : 3/1/2018)

 

Kategori : Sosial Syariah

 

Mesyuarat Jamaah Ulama’ Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu  Kelantan yang bersidang pada 02 Mei 2018 bersamaan 16 Syaaban 1439 Hijriah bertempat di bilik mesyuarat tingkat 4, Majlis Agama Islam Kelantan telah membincangkan  isu mengenai Hukum Duit Digital (Bitcoin) Menurut Perspektif Islam.

1          Mesyuarat membincangkan isu ini berdasarkan pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh Yang Berusaha Profesor Doktor Asmadi bin Muhamad Naim.

  1. Setelah membincangkan isu ini dengan terperinci mesyuarat bersetuju memfatwakan hukum penggunaan duit digital (Bitcoin) untuk membuat penjualan, pembelian, pajakan dan urusan niaga lain adalah tidak diharuskan menurut syarak.
  2. Keputusan ini dibuat berdasarkan sebab –sebab berikut:
  • Ia tidak patuh terhadap sistem pengawalan dan keselamatan maya.
  • Ia bertentangan dengan kewangan berpusat untuk  negara-negara dan bank-bank pusat.
  • Ia digunakan untuk melepaskan diri daripada agensi keselamatan bagi menjalankan aktiviti  haram.
  • Ia digunakan secara meluas oleh kumpulan bersenjata dan ektrimis seperti kongsi gelap, dadah dan penggubahan wang haram untuk mengelakkan diri daripada ditangkap dan didakwa.
  • Terdedah kepada unsur gharar, mengharap nasib dan penipuan
  •  Ia hanya perdagangan mata wang elektronik sepenuhnya dalam talian sahaja.
  • Ia adalah mata wang digital yang tidak berpusat yang tidak mempunyai kehadiran fizikal dan tidak boleh diukur secara konkrit.
  • Ia mengandungi unsur jihalah.
  • Tidak harus berjual beli menggunakannya.
  • Ia tidak mempunyai badan kawalan pusat di belakangnya.

FATWA TAHUN 2012

 

CADANGAN PENGURUSAN DEPOSIT HASIL TANAH WAKAF AL-MARHUM SULTAN MANSUR DAN KONSEP PEMBANGUNAN TANAH WAKAF TERSEBUT.

 

(Kategori : Wakaf)

(Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama’ Bilangan 1/2012)

Tarikh : 26 Februari 2012/04 Rabiulakhir 1433H

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan yang bersidang pada 26 Februari 2012 bersamaan 04 Rabiulakhir 1433H telah membincangkan isu mengenaiCadangan Pengurusan Deposit Hasil Tanah Wakaf Al-Marhum Sultan Mansur Dan Konsep Pembangunan Tanah Wakaf Tersebut dan telah bersetuju memutuskan sebagaimana berikut:

Huraian :

 

  1. Al Fadhil memaklumkan bahawa Al-Marhum Sultan Mansur telah mewakafkan 9 bidang tanah kepada Majlis Agama Islam Kelantan, satu bidang tanah tersebut diwakafkan secara wakaf am dan sekarang telah dimanfaatkan menjadi sekolahrendah dan menengah Tengku Amalin AisyahPuteri. Hendaklah dimanfaatkan mengikut surat cara wakaf yang diamanahkan oleh beliau kepada Majlis Agama Islam Negeri Kelantan.
  2. Berdasarkan surat cara wakaf Al-Marhum Al-Sultan Mansur dan persepakatan bersama pihak Majlis Agama Islam Kelantan selaku Nazir (pemegang Amanah Wakaf), Majlis telah diamanahkan untuk :

(i) Membiayai perbelanjaan membuat haul arwah sekali setahun. Perkara ini (dilaksanakan oleh pihak Majlis dimana setiap awal tahun peruntukan berjumlah RM2,500.00 diberikan kepada mereka yang diamanahkan untuk perkara ini.

(ii) Membayar/memberi habuan kepada tenaga pengajar Al-Quran di Masjid Langgar (dibekukan untuk sementara waktu kerana pihak Majlis Agama Islam Kelantan sendiri mempunyai guru Al-Quran yang dilantik).

(iii) Memberikan habuan kepada penziarah dimakamnya bertempat di perkuburan Diraja Langgar. Perkara ini dilaksanakan oleh pihak Majlis Agama Islam Kelantan sehingga kini.

  1. Sehingga tahun 2011 amaun deposit terkumpul melalui sewaan tanah-tanah wakaf Al-Marhum Sultan Mansur dari tahun ketahun (setelah ditolak perbelanjaan i-ii) diatas masih berbaki dan telah berjumlah RM482,301.15 serta memerlukan mekanisme sesuai untuk memanfaatkannya.

 

 

Keputusan :

 

            Setelah membincangkan perkara ini mesyuarat bersetuju memutuskan seperti berikut :

“Majlis Agama Islam Kelantan sebagai nazir atau pengawal kepada tanah-tanah wakaf hendaklah berusaha untuk membangunkan tanah-tanah wakaf yang dikawal olehnya. Pada masa yang sama Majlis Agama Islam Kelantan juga hendaklah menghormati dan menjalankan amanah pewakaf-pewakaf tersebut. Oleh itu mesyuarat bersetuju dengan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh pihak pengurusan Majlis Agama Islam Kelantan seperti berikut :

(i)                Membangunkan tanah yang masih terbiar seperti lot 260 Mukim Cik Latif Badang Kota Bharu atau khususnya Lot 464 Mukim Cekok, Panji dan pembangunan sesuai seperti (markaz saudara baru/ tahfiz dan lain-lain yang sesuai).

 

(ii)              Menggunakan wang wakaf khas dari jumlah terkumpul sebanyak RM482,301.15 tersebut untuk membeli aset kekal berupa tanah/bangunan. Manfaat yang diperolehi daripada pembelian tersebut hendaklah disalurkan sebagaimana yang diamanahkan oleh pewakaf.

 

(iii)           Meluaskan maksud membaca al-Quran di Masjid Langgar kepada masjid-masjid lain (Bandar/Mukim/I’tikaf).

CADANGAN ISTIBDAL SEBAHAGIAN LOT 359 TANAH WAKAF KHAS AL-MARHUM TENGKU KAYA PAHLAWAN DENGAN DUA UNIT RUMAH KEDAI TIGA TINGKAT YANG DIBINA OLEH SYARIKAT SENTOSA JAYA SDN. BHD.

 

Kategori  : Sosial Syariah (Wakaf)

 

Keputusan :

 

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2004 di Bilik Mesyuarat Tingkat Tiga Majlis Agama Islam Kelantan  pada 4 Julai 2004 telah membincangkan isu Cadangan Istibdal Sebahagian Lot 359 Tanah Wakaf Khas Al-Marhum Tengku Kaya Pahlawan Dengan Dua Unit Rumah Kedai Tiga Tingkat Yang Dibina Oleh Syarikat Sentosa Jaya Sdn. Bhd. dan telah bersetuju menfatwakan seperti  berikut  :

 

  1. Diharuskan istibdal sebahagian daripada tanah Wakaf Khas Al-Marhum Tengku Kaya Pahlawan di lot 359 kepada Syarikat Sentosa Jaya Sdn. Bhd. dan sabagai gantinya dua unit lot kedai tiga tingkat sebagaimana yang dicadangkan dalam projek ini hendaklah diberi milik kepada Majlis Agama Islam Kelantan selaku nazir kepada tanah Wakaf Khas ini.

 

  1. Mesyuarat Jemaah Ulama’ juga menasihatkan sebelum projek pembangunan di atas dijalankan, Majlis selaku nazir kepada harta wakaf ini hendaklah mengambil tanggungjawab yang tinggi bagi memastikan ianya tidak terdedah kepada risiko yang mengakibatkan kerugian atau luput manafaat wakaf atau hilang harta wakaf ini sendiri yang berpunca dari silap membuat perhitungan atau kelemahan pengurusan atau penipuan atau kecuaian manusia.

 

Ekoran permohonan daripada pihak pengurusan Majlis Agama Islam Kelantan yang meminta pandangan Jemaah Ulama’ Majlis mengenai status-status lot tanah wakaf majlis yang bertaraf “Hak milik Terhad” ( leasehold) yang telah tamat tempohnya. Pihak Pengurusan Majlis khuatir tanah-tanah tersebut akan diambil semula oleh Kerajaan Negeri untuk tujuan lain yang menyebabkan hilang manfaat wakaf.

 

Fatwa ini dikeluarkan berdasarkan nas-nas berikut:

 

Kitab Ahkamul Aufak karangan Syeikh Mustafa Ahmad Razak halaman 148-149:

 


 1.1. فيما يجوز من الشروط وتجوز مخالفته عند الحاجة.... على أن مخالفته شرط الواقف عندما تصبح مخالفته مما تدعوا اليه ضرورة المحافظة على حياة الوقف أو حسن الانتفاع به، انما تدخل في حقوق الولاية العامة وصلاحيتها في تدبير مصالح المجتمع على الوقف ما توجبه قواعد السياسة الشرعية ومقتضى الحال. هذا ويمكن تصنيف الشروط التي تدخل في هذا الفرع الى اصناف أربعة وفقا للمبادئ العامة التي يستند اليها جواز المخالفة مما صرح به الفقهاء أو دلت عليه علل الأحكام.

 

 

.الأول: كل الشرط قد يؤول الى تعطيل استثمار الوقف أو قله الثم

 

.الثاني: كل شرط في مصارف الوقف قد يؤول الى التعذر

 

.الثالث: كل شرط قد يؤول الى غبن القائمين بأعمال الوقف الضرورية في اجورهم

 

.الرابع: كل شرط قد تكون مخالفته اسهل تنفيذا دون اخلال بالمقصود وغرض الواقف

 

وذلك كما لو نص الواقف على منع الاستبدال بعقار الوقف. فانه يعمل بشرط هذا ما أمكن، فاذا تخرب وليس للوقف غلة تفي بتعميره أو أصبحت نفقاته تقارب غلته، فتضاء لت ثمرته. أو نزح الناس من حوله ونحو ذلك من الاسباب التي يعود تقديرها الى القضاء، وأمكن ان يستبدل به ما يعوض الوقف بخير منه نفعا، ساغ الاستبدال به، ولكن باذن القلضي. 

 

Pembangunan yang dicadangkan tersebut menepati hasrat asal pewakaf iaitu supaya harta yang diwakafkan mendapat manfaat yang lebih baik berbanding sekiranya harta tersebut kekal dalam keadaan asal.

 

Tarikh Keputusan  :  04 Julai 2004

FATWA TAHUN 2015

 

   KAEDAH HITUNGAN ENAM BULAN DUA LAHZAH MENGIKUT TAQWIM HIJRI  UNTUK PENENTUAN   STATUS SAH NASAB.

(Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama’ Bil 3/1/2015)

 

            Kategori: Sosial Syariah

Keputusan :

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Malayu Kelantan yang bersidang pada 06 Disember 2015 Masihi Bersamaan 24 Safar 1437 Hijriah telah membincangkan isu mengenai hukum Kaedah Hitungan Enam Bulan Dua Lahzah Mengikut Taqwim Hijri  Untuk Penentuan Status Sah Nasab.

 

         Mesyuarat bersetuju  memfatwakan bahawa tempoh minimum masa mengandung ialah enam bulan dihitung daripada waktu yang memungkinkan berlaku hubungan kelamin antara suami isteri dalam akad nikah yang sah dan bayi yang dilahirkan selepas tempoh enam bulan tersebut dikira sebagai anak sah taraf. Manakala hitungan minimum enam bulan dua lahzah untuk penentuan status sah nasab ialah 175 hari. Mesyuarat bersetuju mengguna pakai pendapat dan kaedah yang dikemukakan oleh mazhab Maliki dalam isu ini bagi memelihara  kesucian nasab dan keturunan. Dalam masa yang sama pendapat ini juga dilihat lebih meraikan kemaslahatan bayi dan menjaga keaiban serta maruah institusi kekeluargaan.

 

 Mesyuarat juga bersetuju memutuskan pihak yang berautoriti  dalam menentukan kaedah hitungan enam bulan  dua lahzah untuk penentuan status sah nasab di Negeri  Kelantan ialah Mahkamah Syariah Negeri Kelantan sahaja.

FATWA HUKUM WAKAF BAGI TANAH BERTARAF “ HAK MILIK TERHAD”

 

Kategori  :   Sosial Syariah (Wakaf)

 

Isu dan masalah  :

 

Mesyuarat dimaklumkan bahawa perkara ini dibawa dalam perbincangan mesyuarat,

 

Keputusan  :

   

Mesyuarat Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2005 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan pada 31 Julai 2005 telah membincangkan Fatwa Hukum Wakaf Bagi Tanah Bertaraf “Hak Milik Terhad” dan telah bersetuju  membuat keputusan seperti berikut:

 

1.       Tanah-tanah wakaf yang diletakan di bawah kenaziran atau kawalan majlis adalah diiktiraf sebagai wakaf muabbad (kekal) samada tanah-tanah tersebut bertaraf “Hak milik kekal” (freehold) atau “Hak milik terhad”. ( leasehold)

 

2.       Tanah-tanah wakaf yang bertaraf “Hak Milik Terhad” (leasehold)  adalah terkecuali dari Akta Kanun Tanah Negara Tahun 1965 kerana ianya melibatkan Hukum Syara’ dan telah diberi kekecualian dalam seksyen 4(2) akta berkenaan: “Kekecualian setakat mana yang diperuntukan dengan nyata sebaliknya, tiada apa juga dalam akta ini boleh menyentuh peruntukan – (e) mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa mengenai wakaf atau baitulmal”.

 

3.       Mesyuarat juga menasihatkan majlis untuk membuat pindaan kepada Enakmen Majlis Bil. 4, Tahun 1994 seksyen 61 hingga 66 berkaitan dengan wakaf dan nazar khususnya yang berkaitan dengan tanah wakaf agar selaras dengan Akta Kanun Tanah Negara yang memperuntukan bahawa Kerajaan Negeri boleh memberi pemilikan tanah  (leasehold) secara kekal jika pihak berkuasa negeri berpuas hati tanah itu digunakan untuk kepentingan awam seperti seksyen 76(aa) Kanun Tanah Negara. Dengan itu semua tanah wakaf yang bertaraf “Hak Milik Terhad” (leasehold) boleh bertukar menjadi “Hak Milik Kekal” (freehold)  kerana wakaf itu sendiri adalah untuk kepentingan awam.

 

DALIL DAN PENSYARIATAN :

 

1)      Firman Allah s.w.t:

 "لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون وما تنفقوا من شيء فان الله به عليم".

  

2.)    Hadis Riwayat Bukhari:

 

  عن ابن عمر رضي الله عنهما: ان عمر بن الخطاب اصاب أرضا بخيبر، فأتى النبي صلى الله عليه وسلم يستأمره فيها فقال: يا رسول الله، اني أصبت أرضا بخيبر لم أصب ما لا قط أنفس عندي منه، فما تأمر به؟ قال: ان شئت

حبست أصلها وتصدقت بها.قال: فتصدق بها عمر أنه لايباع ولا يورث. وتصدق بها في الفقراء وفي القرب وفي سبيل الله وابن السبيل والضيف، ولا جناح على من وليها أن يأكل منها بالمعروف ويطعم غير متمول. قال: فحدثني به

ابن سيرين فقال: (غير متأثل مالا)                                                                                                      

PENDAPAT ULAMAK

 

v  Kebanyakan fuqaha berpendapat setiap setiap wakaf mesti kekal. As-syafie dalam mazhabnya menyatakan bahawa kekal adalah syarat mutlak tidak boleh dikaitkan dengan had masa kerana harta wakaf adalah dikhususkan untuk kerabat dan tidak akan mendapat pahala sekiranya ada had masa. Dengan sebab itu tidak sah sekiranya wakaf dihadkan masa. Pandangan di atas telah menghasilkan dua pendapat:

 

1.      Sekiranya dihadkan masa wakaf, batal ibadat wakaf kerana wakaf bertujuan mendapat pahala berterusan.

2.      Sah wakaf, boleh tasrif dan memberi pinjam atau hutang harta wakaf kerana menggalakkan orang ramai mengamalkan wakaf. Wakaf akan mendapat ganjaran yang berkekalan.

 

v  Kumpulan ulamak yang berpegang dengan wakaf mesti kekal ialah kerana dalam Hadis Umar r.a menyebut al-hibsu (tahan) dengan maksud kekal. As-Syaukani mengatakan bahawa الدار القطن dalam riwayat al-Baihaqi menafsirkan hadis tersebut dengan “ tahan selama kekalnya langit dan bumi”.

 

v  Menurut al-Zuhaili syarat pertama pada zat dan lafaz wakaf ialah التأبيد. Jumhur fuqaha kecuali al-Malikiah berpendapat tidak sah wakaf yang ada tempoh masa, kerana wakaf ialah mengeluarkan harta untuk tujuan mendekati Allah (قربة), tidak boleh tentukan masa, tidak boleh elak daripada maksud (التأبيد) tidak perlu lagi dinyatakan dalam lafaz.

v  Sifat dan ciri kekal adalah menjadi prinsip dan konsep undang-undang wakaf. Syarak menegah wakaf ditarik balik atau dibatalkan kerana harta wakaf adalah dianggap kembali menjadi hak Allah. Pewakaf sudah tidak ada sebarang hubungan lagi dengan harta wakaf. Penerima wakaf hanya boleh menerima manfaat harta berkenaan, tidak boleh melakukan sebarang pelupusan hak milik.

 

v  Bahkan Hanafi juga mensyaratkan التأبيد pada wakaf harta عقار  (tidak alih)  kerana wakaf adalah untuk mengambil manfaat dengan harta berkenaan atas tujuan kekal.

 

v  Dalam syarat lafaz wakaf menghendaki supaya tidak disebut tempoh kerana bertentangan konsep wakaf yang bermaksud kekal. Maka sebarang tempoh mesti dikeluarkan. Sungguhpun begitu ulamak telah membuat pengecualian sekiranya diadakan tempoh pada lafaz wakaf masjid, kubur, tempat perhimpunan, tempat laluan orang ramai dan seumpamanya. Sah wakaf kerana penggunaannya adalah kekal, menepati pensyariatan wakaf, dengan itu gugur had masa. Kedudukan tanah hak milik terhad berlaku had masa dalam syarat  الطرف pemilikan bukan dalam lafaz.

 

v  Faktor kelainan pandangan bagi wakaf selain masjid adalah dipengaruhi oleh fahaman Abu Hanifah bahawa pemilikan wakaf berada di tangan orang yang mewakafkan kerana baginya wakaf dipengaruhi unsur ariah atau pinjaman yang membolehkan pewakaf mengambil semula. Bagi imam Malik walaupun pemilikan berada di tangan pewakaf, namun kuasa transaksi wakaf sangat terikut dengan prinsip undang-undang wakaf.

 

v  Pandangan yang membolehkan harta tanah wakaf bertempoh, iaitu apabila tamat tempoh, harta tersebut akan kembali menjadi hak milik pewakaf sekiranya masih hidup, seandainya pewakaf telah meninggal dunia harta tersebut akan kembali menjadi hak milik ahli waris pewakaf. Keadaan ini berlainan dengan pentadbiran wakaf di Malaysia kerana undang-undang di Negara ini telah menetapkan wakaf dalam ketegori berkenaan dikembalikan kepada kerajaan negeri bukan kepada pihak-pihak yang memerlukan.

 

v  Kedudukan harta tanah wakaf bertaraf hak milik boleh diperbaharui semula, tetapi terdapat beberapa prosedur yang perlu dilakukan. Antaranya ialah perlu membayar premium dan lain-lain bayaran kepada pihak berkuasa negeri. Lebih malang lagi pampasan terhadap pengembalian balik hak milik tidak diberi melainkan peruntukan berhubung dengannya dibuat dalam dokumen hak milik tanah berkenaan. Keadaan ini mengakibatkan “tragic loss” kepada tanah wakaf yang terlibat. 

     

Tarikh keputusan  :  31 Julai 2005

Senarai Fatwa Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Kelantan