Pada 21 November 2021M bersamaan 16 Jamadil Awal 1443H hari Selasa, Jabatan Mufti Negeri Kelantan telah mengadakan kunjungan hormat dan lawatan sambil belajar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan disambut oleh Pengarah Hospital USM sendiri iaitu, Yang Bahagia Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari bin Halim. Kunjungan hormat ini diketuai oleh Sahibul Fadhilah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan  Yang Berhormat Dato' Haji Nik Abdul Kadir bin Haji Nik Mohamad dan disertai oleh kakitangan Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Kelantan seramai 9 orang. Kunjungan hormat ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai prosedur-prosedur dalam perubatan seperti proses Intubasi, Bius, Euthanasia, Pembedahan Kosmetik, Amputasi, Hemoialisis, Pengurusan Ibadah Pesakit dan Pengurusan Persekitaran Konsep Hospital Mesra Ibadah untuk kajian yang lebih mendalam dalam bidang fatwa berkaitan ilmu perubatan.  Sebelum bersurai ahli kunjungan hormat dijemput untuk sesi lawatan ke Unit Forensik HUSM iaitu ke Bilik Pengurusan Jenazah. Semoga kunjung hormat dan lawatan sambil belajar ini dapat memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

Pada 26 Oktober 2021M bersamaan 19 Rabiul Awal 1443H hari Selasa, Jabatan Mufti Negeri Kelantan telah menerima satu kunjungan hormat daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, iaitu YB Ust Haji Tuan Mohd Saripudin bin Tuan Ismail. Kunjungan hormat ini bertujuan untuk bersua dengan YB SS Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad dan bertukar pendapat serta berbincang tentang cadangan penggunaan beras gantang Baghdad dalam urusan fidyah. Semoga kunjung hormat dan perbincangan ini dapat memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

Jabatan Mufti Negeri Kelantan telah menerima Sijil Pengiktirafan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Kategori Cemerlang pada Majlis Sambutan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Kelantan 2020 yang telah diadakan di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darul Naim pada 26 Oktober 2020. Penyampaian sijil tersebut telah diterima oleh YB Sahibus Samahah Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Kelantan sendiri yang hadir ke majlis tersebut dan disampaikan oleh Yang Mulia Dato’ Haji Tengku Azmi Bin Haji Tengku Jaafar, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kelantan. 

Publish modules to the "offcanvs" position.