PERKEMBANGAN KAEDAH RUKYAH DAN HISAB DI MALAYSIA  

 

Di dalam Persidangan Islam SeMalaysia di Kuala Lumpur pada 4-7 Mac 1969, kaedah Rukyah dan Hisab menjadi perhatian banyak negeri untuk menyelaraskan awal Ramadhan dan Syawal : 

a) Enam buah negeri berpendapat iaitu :

Awal anak bulan Ramadhan dan Syawal hendaklah ditentukan dengan cara rukyah, tetapi sekiranya anak bulan tidak juga nampak   sedangkan mengikut kiraan ahli falak anak bulan tetap ada dan  boleh nampak kalau tidak ada apa-apa melindung, maka kiraan ahli  falak digunakan.

b) Tiga buah negeri berpendapat iaitu : Awal anak bulan Ramadhan dan Syawal bolehlah ditentukan dengan cara hisab falak sahaja tanpa rukyah.

c) Tiga buah negeri lagi berpendapat iaitu :

Awal anak bulan Ramadhan dan Syawal dengan  cara rukyah  sahaja   dan jika anak bulan tidak kelihatan hendaklah dicukupkan 30 hari.

Walau bagaimanapun, Persidangan Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 21-27 April 1969 memberikan keutamaan kepada rukyah dalam menentukan awal bulan seperti berikut : 

a)   Permulaan bulan Ramadhan dan Syawal adalah berdasarkan semata-mata dengan penglihatan anak bulan yang sebenarnya.

b)  Jika penglihatan anak bulan tidak mungkin bagi sesuatu negara, laporan-laporan tentang penglihatan anak bulan yang sebenarnya di dalam sesuatu negara yang mempunyai sebahagian atau malam yang sama dengan negara itu haruslah dikira sebagai asas penentuannya.

c)  Di dalam keadaan yang kedua-dua cara tersebut di atas tidak mungkin dilakukan dan kiraan astronomi (falak) memestikan bahawa anak bulan boleh kelihatan, barulah kiraan astronomi itu dipakai.

d)  Kerajaan-kerajaan dari negara-negara Islam haruslah menubuhkan satu badan yang dianggotai oleh pakar-pakar untuk menentukan awal bulan Ramadhan dan Syawal mengikut prinsip-prinsip yang diutarakan di atas.

e)  Menjelang tahun 1390 H, isu penentuan awal Ramadhan dan Syawal menjadi semakin hangat. Orang ramai berbahas mengenai cadangan meminda rukyah kepada Rukyah dan Hisab. Akhirnya, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam muzakarahnya pada 1-2 Oktober 1970 bersetuju dengan ketetapan seperti berikut

  “Anak bulan Ramadhan dan Syawal kiranya tidak kelihatan pada halnya mengikut kiraan ahli-ahli falak anak bulan itu tetap ada dan boleh nampak, maka kiraan ahli-ahli falak bolehlah digunakan.

f)  Di atas syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya kali ke-88 pada 20 Oktober 1970 memutuskan penggunaan kaedah tersebut. Kriteria yang diterimapakai adalah umur bulan ketika matahari terbenam mestilah melebihi 8 jam. Kaedah tersebut diterimapakai sehinggalah Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya kali ke-109 pada 6 Oktober 1977 memutuskan semula penggunaan kaedah rukyah.

 

Setahun berikutnya, Muktamar Bagi Menentukan Permulaan Bulan-Bulan Islam berlangsung di Istanbul. Malaysia turut menghantar wakil ke muktamar tersebut. Muktamar adalah mengenai penyelarasan awal bulan di kalangan negara-negara Islam :

a)  Bahawa asal hukum ialah rukyah, samada dengan mata kepala atau dengan menggunakan alat-alat moden.

b)  Bahawa berpegang kepada ketetapan hisab ahli-ahli falak mengenai kedatangan bulan baru pada syarak wajiblah mereka menentukan adanya anak bulan di atas ufuk selepas matahari jatuh sehingga dapat dilihat dengan mata kepala, ketika tidak ada halangan. Ini adalah dinamakan rukyah di sisi hukum (rukyah hukmiah).

c) Bahawa bagi menentu kemungkinan penglihatan anak bulan itu mesti memenuhi dua syarat utama iaitu:-

Kedudukan matahari dan bulan waktu matahari jatuh tidak kurang daripada jarak 8 darjah, seperti mana diketahui bahawa permulaan penglihatan (rukyah) ialah antara 7 dan 8 darjah, tetapi persetujuan diambil atas 8 darjah secara ihtiat.

Tinggi anak bulan ketika jatuh matahari tidak kurang dari 5 darjah.

d)  Atas asas inilah anak bulan itu dapat dilihat dengan mata kepala dalam keadaan suasana biasa.

e)  Tidak disyaratkan kemungkinan rukyah anak bulan itu di satu tempat yang khusus, tetapi menjadi sah hukum masuk bulan baru dengan ternampak anak bulan di mana-mana tempat di atas permukaan bumi ini. Pengumuman kelihatan anak bulan ini hendaklah dibuat, seperti mana mengikut ketetapan Takwim Hijrah (Islam) yang diselaraskan seperti mana yang tersebut dalam ceraian (kelima) di bawah ini, keseluruh alam menerusi Pusat Satelit di Mekah setelah siap pembinaannya kelak, sebagai langkah untuk menyatupadukan orang-orang Islam.

f)  Beberapa tahun berikutnya, kajian menunjukkan hilal Ramadhan dan Syawal di Malaysia tidak pernah kelihatan pada petang rukyah melainkan hilal Syawal 1401 H / 1981 sahaja. Kekhuatiran mengenai kemungkinan umat Islam berpuasa bukan pada 1 Ramadhan atau berhari raya bukan pada 1 Syawal akibat hilal tidak kelihatan pada petang rukyah sedangkan ia ada juga umat Islam secara keseluruhannya akan berpuasa 30 hari seperti yang telah berlaku pada beberapa tahun kebelakangan mulai timbul. Lantaran itulah, Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya kali ke-125 pada 14 Oktober 1982 memutuskan supaya awal Ramadhan dan Syawal kembali menggunapakai kaedah Rukyah dan Hisab.

 

Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa Dan Hari Raya Puasa yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja telah mengadakan mesyuarat pada 5 dan 25 April 1983 seterusnya mencadangkan dua ketetapan iaitu : 

  • Penentuan hari rukyah hilal pada akhir bulan Syaaban dan akhir bulan Ramadhan hendaklah dibuat dengan hisab falak.
  • Menerima pada dasarnya tiga ketetapan asas Persidangan Hilal Negara-negara Islam Sedunia di Istanbul, Turki pada 27-30hb November 1978 mengenai cara-cara rukyah hilal bahawa anak bulan dikira sabit ada dan boleh dirukyah apabila:

i.  Hilal berada setinggi tidak kurang daripada 5½ (lima setengah) darjah dari ufuk maghrib pada ketika ghurub matahari hari rukyah.

ii. Hilal berada jauh daripada jisim matahari pada ketika ghurub matahari tidak kurang daripada 7½ (tujuh setengah) darjah, dan

iii. Masa berlaku ijtimak, iaitu  masa   lahir   hilal hendaklah berlaku tidak kurang daripada 8 (lapan) jam sebelum waktu ghurub matahari

 

Kajian Semula Penentuan Awal Ramadhan Dan Syawal dengan itu mencadangkan kriteria kebolehnampakan hilal yang lebih sesuai untuk digunapakai di Malaysia iaitu :

  • Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat berikut :

a. Ketika matahari terbenam

i. Ketinggian bulan tidak kurang daripada 2˚, dan

ii. Jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3˚

  Atau

b. Ketika bulan terbenam

i. Umur bulan tidak kurang daripada 8 jam.

Publish modules to the "offcanvs" position.