FATWA MENGENAI RANG UNDANG-UNDANG KANUN JENAYAH SYARIAH

 TAHUN 1993

 

Kategori   : Sosial/Syariah

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 18 dan 20 Ogos 1993 telah membincangkan mengenai Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah 11 Tahun 1993 dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

Semakan draf undang-undang tersebut dibuat dengan cara Setiausaha Jemaah Ulamak membaca fasal demi fasal bermula dari fasal pertama hingga seterusnya. Hasil dari semakan itu mesyuarat bersetuju membuat keputusan sebagaimana berikut:

 

(1)   Mesyuarat bersetuju  memperakuidraf rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah 11 tahun 1993 sebagaimana yang dibentangkan itu.

 

(2)   Mesyuarat bersetuju mengesyorkan supaya pengertian ((ارشى)) disemak semula untuk diselaraskan dengan maksud sebenarnya seperti yang terdapat dalam kitab yang muktabar.

 

(3)   Bahawa segala keputusan seperti pengesyoran yang dibuat dalam mesyuarat ini adalah berupa pandangan bukan fatwa.

 

 

 

 

Huraian:

 

Datuk Pengerusi menjelaskan bahawa mesyuarat ini diminta memberi apa-apa pandangan dan pendapat berhubung dengan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah 11 tahun 1993 yang telah disediakan oleh pihak Pentadbiran Negeri.

 

Mesyuarat dimaklumkan bahawa draf rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah 11 tahun 1993 yang disediakan oleh pihak Pentadbiran Kerajaan Negeri dan satu salinan draf undang-undang tersebut telah dipanjangkan kepada Pejabat Mufti untuk diberi apa-apa komen. Draf tersebut mengandungi enam bahagian sebagaimana berikut:

 

Bahagian i -        Kesalahan- kesalahan hudud

 

Bahagian ii -      Qisas

 

Bahagian iii-     Keterangan

 

Bahagian iv-  Bagaimana hukum dilaksanakan

 

Bahagian v -      Peruntukan umum

 

Bahagian vi -  Mahkamah

 

Menurut al-Fadhil Dato’ Haji Daud bin Muhammad, Kadi Besar Kelantan, sungguhpun  jawatankuasa kecil yang dibentuk oleh kerajaan negeri telah menyemak dengan terperinci  draf undang-undang tersebut, namun ianya mustahak dirujukkan kepada Jemaah Ulamak Majlis untuk mendapat pandangan kerana tidak semua peruntukan yang dicadangkan dalam draf undang –undang tersebut berdasarkan pendapat Mazhab Syafie, tetapi adakalanya berpandukan kepada mazhab-mazhab lain menurut mana yang dianggap lebih sesuai serta lebih serasi dengan kemaslahatan masyarakat di negeri  ini. Jika selepas disemak oleh Jemaah Ulamak Majlis dan didapati tiada apa-apa yang perlu diperbaiki lagi, ia lebih memudahkan pihak berkenaan untuk diangkat kepada kerajaan bagi tindakan selanjutnya, tetapi jika didapati ianya perlu diperincikan lagi atas sebab –sebab yang mustahak, maka pengesyoran  bolehlah dikemukakan oleh Jemaah Ulamak Majlis kerana draf undang-undang ini akan berkuatkuasa terus menerus setelah ianya diluluskan oleh kerajaan nanti.

Publish modules to the "offcanvs" position.